Yayasan DMDI
Berita
& Aktiviti

Yayasan DMDI Buka Kedai Elektrik Pertama

Yayasan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) melalui anak syarikatnya, DMDI Ventures melancarkan kedai barangan elektrik pertama, sekali gus membuka peluang pertumbuhan baharu dalam rantaian bekalan perkakasan elektrik tempatan.

Pengurus DMDI Ventures, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata, pembukaan outlet pertama dalam negara itu merupakan langkah strategik bagi memperkukuh kedudukan produk 100 peratus buatan Malaysia dengan pengeluar jenama Selamat, sejak 1999.

“Apa yang kami jual adalah produk tempatan berkualiti tinggi yang sudah lama dieksport ke Amerika Syarikat, Arab Saudi dan beberapa negara lain.

“Keyakinan kami datang daripada kualiti serta pematuhan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (Sirim) terhadap setiap barangan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembukaan Kedai Elektrik DMDI Ventures yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam yang juga Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) di Kota Cemerlang, Ayer Keroh, di sini.

Mengulas lanjut, Norsabrina berkata, outlet berkenaan menawarkan lebih 260 pelbagai produk elektrik merangkumi kabel, soket, fius, perkakasan industri, hinggalah kepada barangan siap seperti kipas angin, cerek elektrik dan periuk nasi.

“Selain menyasarkan pengguna umum, kedai itu juga memberi tumpuan kepada pasaran kontraktor, perunding elektrik, syarikat-syarikat penyelenggaraan, agensi kerajaan serta anak syarikat kerajaan negeri.

“Pembukaan outlet itu turut membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan, selain menyumbang kepada ekosistem ekonomi Melaka melalui peningkatan permintaan runcit dan sokongan perniagaan antara kontraktor serta pengeluar tempatan,” katanya.

Foodbank Yayasan DMDI

Bersatu untuk kemanusiaan. Yayasan DMDI menggerakkan bantuan global demi kesejahteraan ummah sejagat.