Yayasan DMDI
Berita
& Aktiviti

Majlis Perasmian Kompleks Dakwah DMDI & Pusat Tahfiz Yayasan DMDI

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Dato’ Azhar bin Haji Arshad mengiringi TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka dan YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka ke Majlis Perasmian Kompleks Dakwah DMDI Dan Pusat Tahfiz Yayasan DMDI di Maahad Tahfiz Sulaimaniyah, Kampung Tersusun DMDI, Selandar, Jasin.

Lafaz Perasmian Kompleks Dakwah DMDI telah disempurnakan oleh TYT Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka dan Perasmian Pusat Tahfiz Yayasan DMDI dilaksanakan oleh YAB Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Hadir sama, YB Datuk Rais bin Datuk Wira Yasin, EXCO Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana; YB Datuk Rahmad bin Mariman, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama; Barisan EXCO Kerajaan Negeri Melaka; YBhg. Datuk Mohd Ridhwan bin Mohd Ali, Pengerusi Yayasan DMDI serta Ketua-ketua Jabatan/Agensi Negeri dan Persekutuan.

Kompleks Dakwah DMDI terdiri daripada dua komponen utama iaitu Pusat Tahfiz Yayasan DMDI dan kemudahan kediaman warga emas untuk meningkatkan kefahaman ilmu agama dengan mengikuti program-program keagamaan yang dilaksanakan dalam kompleks tersebut.

Pusat Tahfiz Yayasan DMDI diuruskan oleh Pertubuhan Pendidikan Al-Quran Sulaimaniyyah, Malaysia (PPAQSM) dan dinamakan sebagai Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah, Kampung Tersusun DMDI (MTS KT DMDI). Seramai 37 orang pelajar telah memulakan sesi pertama pada 16 Februari 2025.

Foodbank Yayasan DMDI

Bersatu untuk kemanusiaan. Yayasan DMDI menggerakkan bantuan global demi kesejahteraan ummah sejagat.